Monday, April 4, 2011

Cikgu Ambil Nyawa

Apabila syaitan dan nafsu menguasai diri ini la yang terjadi.. Saya terkedu kerana perkara ini berlaku di sebuah sekolah agama dan dilakukan oleh seorang guru agama. 

"Apabila iman terletak di lutut terus akal jatuh ke kaki."

KANGAR: Hanya kerana wang RM7, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid tahun satu sebuah sekolah agama persendirian di Arau, dekat sini, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pagi semalam, selepas koma sejak tiga hari lalu akibat parah dibelasah gurunya.
Difahamkan, mangsa dipukul dengan teruk kerana didakwa mencuri wang milik rakan sekelasnya.

Mangsa yang sudah kematian ibu, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8 pagi selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala dan komplikasi jantung berikutan kejadian di bilik asrama sekolah agama berkenaan, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika mengesahkan perkara itu berkata, murid terbabit disahkan meninggal dunia dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

“Kita akan menjalankan siasatan menyeluruh kejadian itu, apatah lagi ia menjadi bertambah serius kerana membabitkan kematian. Semua pihak berkaitan di sekolah agama itu akan dipanggil untuk siasatan.

“Perintah reman terhadap suspek berusia 26 tahun yang juga guru mangsa yang berakhir esok (hari ini), akan disambung untuk tujuan siasatan,” katanya enggan mengulas lanjut kes itu.
Metro Ahad semalam melaporkan Saiful Syazani dibelasah dengan kejam oleh gurunya yang juga warden asrama dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa koma dalam kejadian pada kira-kira jam 7 malam, Khamis lalu.

Mangsa dikatakan berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri sehingga menimbulkan kemarahan guru terbabit yang kemudian memukulnya tanpa belas kasihan.

Selepas memukul kepala, suspek dikatakan `naik hantu' dan menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama murid itu mengalami pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung.

Suspek yang mungkin menyedari kesalahannya dan menyesal dikatakan sempat bersolat hajat sejurus dimaklumkan doktor bahawa mangsa dalam keadaan kritikal sebelum bergegas ke Alor Setar dengan menaiki motosikal untuk melihat keadaan murid terbabit.

Guru terbabit menyerah diri di Balai Polis Arau, Jumaat lalu, selepas bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, pada jam 8 malam hari kejadian.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat, ketika dihubungi berkata, pihaknya menyerahkan kes itu kepada pihak polis kerana sekolah itu milik persendirian dan bukannya di bawah seliaan jabatan berkenaan.

“Kita tidak mahu campur tangan dalam kes ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.

“Kami amat sedih dan dukacita di atas kejadian ini dan jika benar perbuatan guru memukul hingga menyebabkan kematian murdnya, ia di luar bidang kuasa guru dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, pengetua sekolah agama terbabit, Yaakub Abu Soman berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang ulasan berhubung kejadian itu yang membabitkan guru dan murid sekolahnya atas arahan polis.

“Kami akan mengadakan sidang akhbar selepas tempoh reman terhadap suspek tamat nanti,” katanya.

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee berkata, jenazah anak tunggalnya hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya, Jahiyah Che Amat, dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka di sini, petang semalam. Dia juga berharap guru terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang kerana perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu.

Saya doakan semoga allahyarham  adik Saiful ditempatkan dalam golongan orang yang beriman dan terpuji. Kesian dengan bapa mangsa sudahlah isteri telah pergi sekarang anak tunggalnya juga telah dijemput Ilahi. Nauzubillah..

6 comments:

adad said...

Al-fatihah wat arwah... sedey juga. agaknya cikgu tu dah naik hantu kot

Diyana said...

ironinya..si bapak bertemu si anak yg sudah tak dijengah hampir 1 tahun dlm keadaan tak sepatutnya..^^ .

Myra Jay said...

ini bukan nk mendidik lg namanya. xkan la hilang marah smpai x ingat g kna pukul tu cuma kanak kanak.

Halen said...

to jiya:
aku pun rasa camtu jgk..

to diyana:
itu mungkin ada masalah lain tp yg jd isu sekarang ni kes cikgu ni la yg telah meragut nyawa anak muridnya sendiri. but i know z semua cikgu camtu kan.

to mj:
mungkin cikgu tu tgh ada masalah kot. tak pun hati dia gelap time marah tu.

Anonymous said...

Berita belum sahih lagi jangan salahkan satu pihak sahaja..biarlah siasatan selesai baru di pastikan berita betul ke x? Jangan sebab satu kes mcm ni semua cikgu dipersalahkan n anak murid semakin kurang hormat dengan cikgu sebab semua cikgu sudah x berani ambil tindakan pada murid2 yg buat masalah. lagipun ajal semua d tangan tuhan.. bayangkan kalau cikgu tu baru sekali rotan budak tu terus meninggal..adakah tu salah cikgu sedangkan budak tu memang patut d rotan.. pikir2kan la..

Halen said...

owhhh.. sy minta maaf yer jika entry ni menyinggung guru2 di luar sana. bkn sy nk salahkan semua cikgu2 tp sy cuma berkongsi kekesalan ttg cikgu yg bersikap begini. sy tau x semua kejam. sekali lg sy minta maaf ya.